“Andainya saya dilahirkan sempurna, alangkah bagusnya!” – Itulah kata-kata yang timbul dibenak OKU apabila mereka mula merasai sesuatu yang kurang pada diri mereka. Rasa tersebut mula dirasai ketika mencecah usia kanak-kanak. Tidak kira apa bentuk OKU sekalipun: OKU fizikal, OKU panca indera, OKU mental, dan OKU gabungan, mereka tetap impikan satu badan yang sempurna, tanpa kecacatan dan kekurangan seperti mereka yang tidak OKU. Namun, semakin mereka impikan igauan tersebut, maka semakin besarlah dilema dan trauma yang bakal mereka tempuhi.
Nilai dilema dan trauma ini ditentukan oleh keadaan sekeliling. Pernah seorang OKU yang saya kenali berkata, “Kami sebenarnya tidak OKU, tetapi masyarakat yang mengOKUkan kami!”. Sungutannya itu memberi seribu tanda tanya tentang cabaran yang mereka tempuhi dan betapa rasa hampa akan layanan sekeliling yang mereka lalui. Ini kerana kita dibesarkan mengikut acuan sekeliling yang terbentuk. Dari segi didikan dan kasih sayang ibu bapa dan ahli keluarga, pergaulan rakan sebaya, kenalan antara ahli masyarakat dan sebagainya merupakan pendidik kepada hidup kita. Sebagai OKU, peristiwa-peristiwa yang mereka lalui adalah lebih mencabar. Cabaran inilah yang akan membentuk dilema dan trauma dalam hidup mereka. Cabaran ini jugalah akan menguji mereka dalam mengimbangi antara empat nilai imbangan hidup, iaitu nilai kekentalan semangat, nilai kecerdasan minda, nilai kawalan emosi, dan nilai sempurna fizikal.
Trauma dan dilema bukan sahaja dirasai oleh OKU sendiri. Kadang-kadang ahli keluarga terutamanya ibu bapa juga akan menghadapinya. Perasaan tersebut lebih berat sekiranya anak atau ahli keluara OKU itu mengalami kecacatan fizikal yang terlalu ketara. Bagi mereka yang tidak pandai mengimbangi empat nilai hidup yang disebutkan di atas, maka jalan penyelesaiannya ialah menjauhkan ahli keluarga OKU itu daripada pandangan umum. Ada juga yang sanggup membuang atau meninggalkan anak OKU mereka! Manakala mereka yang pandai mengimbangi nilai-nilai hidup tersebut, kecekalan, ketabahan, perihatin dan kasih sayang menjadi dampingan harian mereka. Mereka lebih dapat memahami bahawa setiap ciptaan Tuhan ada hikmah disebaliknya.
Pernah saya mendengar satu ceramah yang disampaikan oleh seorang insan OKU yang saya amat kagumi. Beliau menceritakan bahawa ketika dilahirkan tanpa kedua belah kaki dan tangan kiri, ayahnya tidak dapat menerimanya. Dia disisihkan dan kasih sayang yang diterima dari ayahnya juga kurang berbanding dengan abang dan kakaknya. Ayahnya tidak pernah mendukungnya keluar dari rumah. Sehinggalah satu peristiwa telah berlaku ketika ayahnya pergi memburu.Ayahnya telah menembak seekor monyet betina di atas pokok. “Beng!”, tembakannya tepat dan monyet betina itu terjatuh. Ketika menyembah bumi, tiba-tiba beberapa ekor anak monyet keluar mengerumuni ibu monyet. Darah merah mewarnai badan ibu monyet itu akibat peluru. Dengan menahan kesakitan, ibu monyet menggagahkan tenaga yang masih terkumpul. Terincang-incut langkah ibu monyet menuju ke arah salah seekor anak monyet yang paling kecil. Didakapnya anak itu. Anak-anak monyet yang lain menjerit sampil mendapatkan ibu monyet. Ibu monyet sempat mendakap satu persatu anak-anaknya sehinggalah yang terakhir. Lalu ibu monyet rebah dan tidak lagi bergerak. Peristiwa itu telah menginsafkan ayahnya. Semenjak hari itu, ayahnya tidak lagi memburu. Dan yang paling besar perubahan sikap ayahnya ialah dia didukung ke mana saja, diberi kasih sayang sepenuhnya sebagai anak emas. Sehinggalah kini insan OKU itu telah dewasa dan berumah tangga. Beliau ialah seorang peguam yang berjaya. Keinsafan ayahnya ialah binatang pun tahu menyayangi anak-anaknya, apatah lagi manusia!
Perasaan dilema dan trauma insan OKU adalah secara zahir dan abadi. Ketidaksempurnaan bahagian tertentu mereka akan terus bersama. Kalau OKU fizikal tangan kanannya kudung, maka kudunglah tangannya; Kalau OKU panca indera yang pekak bisu maka pekak bisulah dia. Walaupun terdapat teknologi tertentu dapat membantu, namun penggunaannya tidaklah sesempurna yang asli. Manalah mungkin ciptaan manusia boleh menandingi ciptaan Tuhan? Oleh itu, kehidupan OKU penuh dengan cabaran seiring dengan peningkatan usia dan zaman mereka; Selangkah ke depan, segenggam cabaran menanti.
::Artikel ini dipetik dari
http://okukita.blogspot.com::

Welcome
Laman Rasmi
Sekretariat Tabung Dana Pembangunan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) OKU Seberang Jaya
Eyes of Hope
Board of Volunteers
One-Stop-Center
Sembang2 PDK

Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 .:: Tulis Ulasan/Komen/Sokongan anda disini ::.:
Artikel ini dipetik dari http://okukita.blogspot.com, bukan www.bp1.blogspot.com, harap maklum.
Post a Comment