.

Subscribe
Add to Technorati Favourites
Add to del.icio.us

SEBERANG JAYA -  Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK-OKU) Bandar Seberang Jaya yang sedang dalam proses pembinaan di taman Sembilang menzahirkan pendirian  'NO POLITICS IN HELPING PDK OKU'. Perbezaan ideologi politik yang sangat berbeza bukan sahaja dilihat sebagai kelebihan namun juga dianggap sebagai keistimewaan dalam bekerja didalam satu kumpulan. Semoga dengan kematangan ini akan dapat menyatupadukan penduduk sekitar dan yang paling utama dapat merealisasikan impian golongan OKU untuk mendirikan sebuah pusat Pemulihan yang kini sudah dalam Fasa Ke-2. Untuk bacaan lanjut, sila klik pada imej di bawah untuk paparan lebih jelas.



Akhbar The STAR (Edisi Utara) 22/8/08 oleh Andrea Filmer

    
   

::YB Dato` Dr.Ng Yen Yen::

Projek Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) untuk Orang Kurang Upaya Bandar Seberang Jaya telahpun dilawati oleh Delegasi Yang Berbahagia Dato` menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat. Meneliti setiap aspek kebajikan dan bantuan yang boleh diperhebatkan untuk masa hadapan OKU Seberang Jaya, seluruh masyarakat setempat hadir untuk menzahirkan keprihatinan & sokongan. Program ini dianjurkan oleh JKM Pulau Pinang dan dikelolakan oleh PDK Seberang Jaya dengan kerjasama Persatuan Penduduk Sembilang (PPS), Rukun Tetangga Sembilang & Masjid Sembilang. Majlis ini bukanlah bersifat meraih undi politik tetapi berkisar akan masa hadapan kebajikan golongan OKU Seberang Jaya yang penduduknya dianggarkan hampir 120 ribu. Namun disebabkan kurangnya kefahaman di pihak Menteri, berikut merupakan luahan yang diterima untuk sama-sama dikongsi :

Assalamualaikum & Salam Kasih Sayang..       

               Yang Berhormat Menteri yang bertanggungjawab dalam hal "kebajikan" datang ke PDK-OKU Seberang Jaya juga akhirnya, kita sebagai tuan rumah menerima dengan sehabis baik kunjungan dan delegasi lawatan ini, TETAPI  Yang Berhormat Menteri berkenaan tidak begitu bijak menyesuaikan diri dengan susana di daerah dan komuniti kami ini, Beliau tidak bijak menghayati apa isi hati dan keluhan kami mewakili seluruh warga OKU Seberang Jaya. Malah Yang Berhormat Menteri yang bertanggungjawab dalam hal "kebajikan" ini tidak tahu cara (methodologi)  mana nak di ambil / guna dalam kesempatan kritikal (waktu pilihnraya kecil Parlimen Permatang Pauh - P44) ; sebaliknya beliau menghiris hati komuniti di sini. Amat sedih kami mewakili seluruh warga OKU Seberang Jaya di akhir lawatan yang dinanti ini. Tiada apa yang terbaik komuniti di sini perolehi dari lawatan Yang Berhormat Menteri KEBAJIKAN ini. Setelah kami utamakan usaha mencari dana untuk menzahirkan kesungguhan kami dengan harapan akan lihat serta dibantu oleh pihak Kementerian namun usaha ini dilihat seperti 'gajah putih' oleh pihak berkenaan. SEPATUTNYA pihak berkaitan menyatakan kesungguhan untuk membantu walau dengan apa daya & cara sekalipun. Sekurangnya dapat menenangkan AJK yang sudah penat payah ke serata negara mencari dana untuk projek ini. Apa yang dizahirkan sangat mendukacitakan. OKU akan terus dibelenggu dengan 'kecacatan kemudahan yang seharusnya diberi perhatian'.

Sessungguhnya kami perlu merayu dan terus akan merayu ke tahap yang lebih tinggi lagi demi kepentingan & masa hadapan anak-anak istimewa di Bandar Seberang Jaya ini.

Durian kulitnya penuh duri,
Isi enak bila d makan
Walau berkecil hati
Perjuangan tetap kami truskan !...


Ikhlas oleh
M.A.H.A



    
::Delegasi JKMPP diberi penerangan oleh Tim.Pengerusi PDK (En.Latif)::

 
::Tuan Pengarah JKMPP meneliti Profil Projek PDK Sbg.Jaya::


13 OGOS 08- Cabaran serta kesusahan barisan Jawatankuasa Pemulihan Dalam Komuniti Bandar Seberang Jaya berjaya dikongsi secara terus dengan lawatan Tuan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang ke tapak pusat PDK yang sedang dalam proses pembinan fasa ke-2. Delegasi JKM yang turut disertai oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah Seberang Perai Tengah ini juga berkesempatan meninjau kawasan tapak sambil diberi penerangan oleh Pengarah Biro Pembangunan PDK(OKU) Seberang Jaya. Biarpun masa tidak begitu lama, namun ruang ini sangat diimpikan oleh seluruh warga AJK serta OKU Seberang Jaya. Mewakili PDK ini, berbesar hati mengucapkan sejuta penghargaan atas keprihatinan pihak Tuan Pengarah untuk melawat PDK ini serta kami sangat mendoakan agar pihak JKM akan merealisasikan impian masa hadapan pusat pemulihan OKU ini.

Bagai mendaki bukit yang tinggi, penuh duri serta penuh cabaran. Diawal pendakian gelap tak terlihat matahari namun diharung juga untuk sampai ke atas. Semakin tinggi semakin nampak bait-bait cahaya. Diimpikan bila hampir sampai ke atas, dapat melihat matahari yang cerah memancarkan cahaya yang selama ini di idamkan.....


Fasa demi fasa, Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK-OKU) Seberang Jaya kini sudahpun hampir menjengah impian untuk merealisasikan hasrat melihat suatu masa nanti seluruh warga OKU di Seberang Jaya mempunyai pusat kegiatan & pendidikan yang sendiri dan tidak lagi menumpang. Berikut merupakan antara rentetan gambar-gambar
pembinaan :


 



Kebajikan sosial adalah elemen penting dalam menentukan keharmonian kehidupan masyarakat. Kebajikan sosial juga merupakan inti kepada konsep pembangunan sosial masyarakat dan negara. Mengikut Midgley (1995) pembangunan sosial adalah:

"A process of planned social change designed to promote the well-being of the populations as awhole in conjuction with a dynamic process of economic development". (Midgley, 1995).

Pembangunan sosial ialah promosi kepada kebajikan sosial atau kehidupan sosial. Tetapi pembangunan sosial tidak menjamin berlakunya pertumbuhan ekonomi. Secara teorinya kebajikan sosial menyediakan rakyat dengan keadaan persekitarannya yang selamat, kepuasan menyeluruh terhadap penyediaan keperluan asas dan memaksimumkan peluang mobiliti. Dengan itu, masyarakat bebas untuk membangunkan potensi diri, terlibat secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan, dan menyumbang kepada masyarakat di mana mereka berada (Adriaansens, 1994; Fraser and Gordon, 1994; Midgley, 1995). Dengan itu, penjagaan kebajikan sosial akan membantu merealisasikan kemajuan masyarakat yang ingin dicapai.

Secara tradisinya, usaha kebajikan sosial dilaksanakan untuk membasmi dan mengawal masalah sosial yang berlaku. Selain itu, kebajikan sosial juga dilaksanakan sebagai usaha pengembangan keupayaan diri bagi meningkatkan tahap pembangunan sosial. Usaha kebajikan sosial ini perlu disokong oleh bidang perkhidmatan yang lain bagi mencapai keadaan pembangunan sosial yang lebih efektif. Pencapaian ini sangat bermakna kepada keadaan kehidupan manusia. Selain itu kebajikan sosial juga merujuk kepada aktiviti manolong atau program sosial kerajaan untuk masyarakat miskin.

Secara keseluruhan tahap kehidupan masyarakat di Malaysia telah meningkat dengan agak baik, hasil kadar pertumbuhan ekonomi yang baik. Keadaan ini ditunjukkan oleh peningkatan dalam beberapa indikator sosio-ekonomi seperti pendapatan per kapita KNK, kesihatan, pendidikan, kesejahteraan sosial, dan perumahan (Rahimah dan Mohamed Yusof, 2002). Walau bagaimanapun, pada masa yang sama keadaan kebajikan sosial di Malaysia mendapat perhatian oleh ahli akademik tempatan dan profesional dalam bidang kebajikan sosial kerana terlalu menekankan pertumbuhan ekonomi tetapi gagal untuk mempastikan kualiti sosial. Keadaan ini dapat diperhatikan melalui peminggiran kumpulan yang tidak dapat menikmati kehidupan sosial yang baik (Mohd Taib Dora, 2000). Pembangunan dengan itu menjadi sebaliknya bagi golongan yang terpinggir ini.
(PERSEPSI MASYARAKAT TERHADAP PENJAGAAN KEBAJIKAN SOSIAL DI MALAYSIA Oleh: Haris Abd. Wahab)

Merenung kenikmatan yang dirasai setiap hari hingga banyakpun yang selalu mensia-siakannya. Nikmat kesempurnaan jasad yang dianugerahkan Ilahi semenjak di lahirkan perlulah disyukuri. Lebih bermakna sekiranya nikmat ini disalurkan dengan amalan dan aktiviti yang bermanafaat agar setiap inci jasad itu berfungsi seperti yang sepatutnya.

"Namun bagaimana pula dengan insan yang dilahirkan dalam kekurangan anggota mahupun cacat pemikiran".

Mereka kerap kali digelar dengan nama-nama yang istimewa sebagai satu bentuk sokongan untuk golongan ini bangun berdiri dalam masyarakat di kala hidup bergerak serba terbatas. Diskriminasi sering wujud dalam kehidupan manusia ini, samada kita sedar atau tidak, berapa orang yang terfikir untuk membantu golongan ini. Soalan utama, berapa insankah yang terfikir akan golongan ini? Lebih menyedihkan kita sering kali melihat golongan istimewa ini namun tiada tindakan mahupun cadangan untuk melihat kelibat ruang bagi tujuan bantuan.



"Mereka ini bukanlah manusia gred B, yang boleh kita ketepikan. Mereka juga merupakan aset insan bagi mencana segala pertumbukan dinamika masyarakat harmoni".

Justeru, pihak Jawatankuasa Program Dalam Komuniti (PDK) Seberang Jaya, Pulau Pinang berbesar hati mengalu-alukan segala bentuk bantuan daripada masyarakat PENYAYANG bagi tujuan PROJEK TABUNG DANA PEMBANGUNAN PUSAT PDK (OKU) Cawangan Seberang Jaya. Jumlah kos pembinaan dan operasi pusat ini dianggarkan sebanyak RM 400,0000 diperlukan.

Sepagi bersama Yang Berbahagia Dato` Haji Fauzi Naim, Usahawan Bumiputera yang prihatin. Beliau melahirkan rasa kasih 'sentimentalnya' kepada warga OKU yang disifatkan sebagai istimewa ini dan menyatakan kesudian beliau untuk membantu PDK OKU Seberang Jaya sedaya mungkin.


Ucapan sejuta harapan setinggi kasih kepada YB Dato` di atas keprihatinan untuk bersama merealisasikan impian ini.

NEW!!! PraiPower Prihatin akan PDK OKU Seberang Jaya


(video mungkin streaming lambat: harap bersabar)

PRAI,6 FEB - Institusi korporat ternama seperti PraiPower Sendirian Berhad (PPSB) menyahut seruan prihatin yang diperjuangkan oleh PDK(OKU) Seberang Jaya menerusi tajaan dana serta kesungguhan untuk melihat perkembangan Orang Kurang Upaya di kawasan Seberang Jaya khasnya tidak terabai.

Pertemuan dua hala antara wakil PDK Seberang Jaya dan PPSB di pusat power plantnya berjalan hampir 2 jam, Tn.Haji Anuar Lazim selaku Ketua Maintainance & Engineering PPSB melahirkan rasa prihatin dan sentiasa komited PPSB dalam membantu PDK Seberang Jaya bagi merealisasikan impian mendirikan sebuah pusat yang bakal juga beroperasi sebagai 'One-Stop Centre' bagi OKU.

Rombongan PDK Seberang Jaya diketuai oleh Pengerusinya sendiri, Encik Adam Ahmad dan turut sama hadir ialah En.Latif, Encik Hashim dan Cikgu Sani Araby.





Menerusi keprihatinan dan semangat bersama yang diperlihatkan oleh PraiPower, Pdk Seberang Jaya dapat bergerak selangkah ke hadapan dalam proses membina bangunannya sendiri. Pada tahun 2007, PPSB telahpun berbesar hati menaja RM 20,000 dan jumlah itu telahpun dibelanjakan sebaik mungkin bagi tujuan pembinaan Fasa 1 (menanam cerucuk & benteng tapak).





Justeru, sebesar penghargaan dikalungkan khas kepada 'Bapa Angkat' bagi Pdk Seberang Jaya ini. Besar maknanya bagi seluruh warga OKU atas keprihatinan pihak anda.



Aturcara
8.00 Malam - Pendaftaran
8.15 Malam - Ketibaan VVIP
8.30 Malam - Majlis bermula
-Bacaan doa
-Ucapan Aluan Pengerusi PDK Seberang Jaya
ENCIK ADAM AHMAD
-Ucapan Penaung PDK Seberang Jaya
YB DATUK ARIF SHAH OMAR SHAH
-Ucapan Perasmian**
YAB DATUK HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
(Menteri Pelajaran Malaysia)

9.00 Malam - Majlis Penyerahan Replika Cek Penajaan
9.20 Malam - Pelancaran Laman Web PDK Seberang Jaya
Persembahan
11.00 Malam - Majlis Bersurai

Lokasi


Pertanyaan : 017-5138002 (Sani Araby)/016-5352832 (Adam Ahmad)/
012-4858459 (Hj.Abdullah)

Program : Majlis Sepetang Gotong-royong Ashura
Pukul : 9.00 pagi - 5.00 petang
Tempat : Rukun Tetangga Semilang
Anjuran : PDK Seberang Jaya, Pulau Pinang

Jemputan Khas :
Datuk Pirdaus Haji Ismail
Datuk Arif Shah Haji Omar Shah
Datuk Nasir






Program : Perlawanan Bowling (Special Olympics Malaysia)
Tempat : Megamall Penang
Pukul : 1.30 - 5.00 petang
Anjuran : Mattel Malaysia Sdn. Bhd.




“Andainya saya dilahirkan sempurna, alangkah bagusnya!” – Itulah kata-kata yang timbul dibenak OKU apabila mereka mula merasai sesuatu yang kurang pada diri mereka. Rasa tersebut mula dirasai ketika mencecah usia kanak-kanak. Tidak kira apa bentuk OKU sekalipun: OKU fizikal, OKU panca indera, OKU mental, dan OKU gabungan, mereka tetap impikan satu badan yang sempurna, tanpa kecacatan dan kekurangan seperti mereka yang tidak OKU. Namun, semakin mereka impikan igauan tersebut, maka semakin besarlah dilema dan trauma yang bakal mereka tempuhi.

Nilai dilema dan trauma ini ditentukan oleh keadaan sekeliling. Pernah seorang OKU yang saya kenali berkata, “Kami sebenarnya tidak OKU, tetapi masyarakat yang mengOKUkan kami!”. Sungutannya itu memberi seribu tanda tanya tentang cabaran yang mereka tempuhi dan betapa rasa hampa akan layanan sekeliling yang mereka lalui. Ini kerana kita dibesarkan mengikut acuan sekeliling yang terbentuk. Dari segi didikan dan kasih sayang ibu bapa dan ahli keluarga, pergaulan rakan sebaya, kenalan antara ahli masyarakat dan sebagainya merupakan pendidik kepada hidup kita. Sebagai OKU, peristiwa-peristiwa yang mereka lalui adalah lebih mencabar. Cabaran inilah yang akan membentuk dilema dan trauma dalam hidup mereka. Cabaran ini jugalah akan menguji mereka dalam mengimbangi antara empat nilai imbangan hidup, iaitu nilai kekentalan semangat, nilai kecerdasan minda, nilai kawalan emosi, dan nilai sempurna fizikal.

Trauma dan dilema bukan sahaja dirasai oleh OKU sendiri. Kadang-kadang ahli keluarga terutamanya ibu bapa juga akan menghadapinya. Perasaan tersebut lebih berat sekiranya anak atau ahli keluara OKU itu mengalami kecacatan fizikal yang terlalu ketara. Bagi mereka yang tidak pandai mengimbangi empat nilai hidup yang disebutkan di atas, maka jalan penyelesaiannya ialah menjauhkan ahli keluarga OKU itu daripada pandangan umum. Ada juga yang sanggup membuang atau meninggalkan anak OKU mereka! Manakala mereka yang pandai mengimbangi nilai-nilai hidup tersebut, kecekalan, ketabahan, perihatin dan kasih sayang menjadi dampingan harian mereka. Mereka lebih dapat memahami bahawa setiap ciptaan Tuhan ada hikmah disebaliknya.

Pernah saya mendengar satu ceramah yang disampaikan oleh seorang insan OKU yang saya amat kagumi. Beliau menceritakan bahawa ketika dilahirkan tanpa kedua belah kaki dan tangan kiri, ayahnya tidak dapat menerimanya. Dia disisihkan dan kasih sayang yang diterima dari ayahnya juga kurang berbanding dengan abang dan kakaknya. Ayahnya tidak pernah mendukungnya keluar dari rumah. Sehinggalah satu peristiwa telah berlaku ketika ayahnya pergi memburu.Ayahnya telah menembak seekor monyet betina di atas pokok. “Beng!”, tembakannya tepat dan monyet betina itu terjatuh. Ketika menyembah bumi, tiba-tiba beberapa ekor anak monyet keluar mengerumuni ibu monyet. Darah merah mewarnai badan ibu monyet itu akibat peluru. Dengan menahan kesakitan, ibu monyet menggagahkan tenaga yang masih terkumpul. Terincang-incut langkah ibu monyet menuju ke arah salah seekor anak monyet yang paling kecil. Didakapnya anak itu. Anak-anak monyet yang lain menjerit sampil mendapatkan ibu monyet. Ibu monyet sempat mendakap satu persatu anak-anaknya sehinggalah yang terakhir. Lalu ibu monyet rebah dan tidak lagi bergerak. Peristiwa itu telah menginsafkan ayahnya. Semenjak hari itu, ayahnya tidak lagi memburu. Dan yang paling besar perubahan sikap ayahnya ialah dia didukung ke mana saja, diberi kasih sayang sepenuhnya sebagai anak emas. Sehinggalah kini insan OKU itu telah dewasa dan berumah tangga. Beliau ialah seorang peguam yang berjaya. Keinsafan ayahnya ialah binatang pun tahu menyayangi anak-anaknya, apatah lagi manusia!

Perasaan dilema dan trauma insan OKU adalah secara zahir dan abadi. Ketidaksempurnaan bahagian tertentu mereka akan terus bersama. Kalau OKU fizikal tangan kanannya kudung, maka kudunglah tangannya; Kalau OKU panca indera yang pekak bisu maka pekak bisulah dia. Walaupun terdapat teknologi tertentu dapat membantu, namun penggunaannya tidaklah sesempurna yang asli. Manalah mungkin ciptaan manusia boleh menandingi ciptaan Tuhan? Oleh itu, kehidupan OKU penuh dengan cabaran seiring dengan peningkatan usia dan zaman mereka; Selangkah ke depan, segenggam cabaran menanti.

::Artikel ini dipetik dari
http://okukita.blogspot.com::

Pejam celik, kita sudah memasuki hari baru dalam kalendar tahun 2008. Melihat kepada apa yang telah dilakukan pada tahun lepas dan sebelumnya menjadikan tahun baru ini lebih bermakna kepada seluruh warga PDK khususnya serta masyarakat penyanyang amnya.

Seawal pagi tahun baru, Sekretariat Tabung Dana Pembangunan PDK OKU diceriakan dengan persetujuan pihak YB Datuk Arif Shah untuk menaja segala perbelanjaan bagi projek mencetak brochure sebanyak 20 000 . Perbincangan dua hala antara sekretariat dan YB penaung juga membincangkan hala tuju yang boleh diperhebat bagi membela nasib golongan OKU di kawasan Seberang Jaya khasnya. Bagi beliau gembelengan daya usaha masyarakat untuk agenda prihatin ini sangat perlu sebagai satu platform mengasuh budaya prihatin dan kasih kepada masyarakat dan komuniti.

Bagi pihak sekretariat, sekalung penghargaan kepada YB Datuk dan semua yang telah banyak membantu.

Salam Tahun Baru

Oleh SANI ARABY
safararaby@yahoo.com




***LIVE-Ucapan & Klip Perasmian (Sila klik icon play dimenu player I & II)

"Agenda pemuafakatan masyarakat merupakan perkara pokok dalam apa juga keadaan dan aktiviti yang dilakukan" ulas YB Dato Ariff Shah Omar Shah yang merasmikan majlis pecah tanah di tapak pembinaan bangunan yang bakal beroperasi sebagai pusat pemulihan dalam komuniti dan menempatkan golongan istimewa (OKU). Beliau yang merupakan penaung badan ini melahirkan rasa simpati serta sokongan 'sentimental' kepada golongan ini.Beliau menggesa masyarakat sekitar untuk turun secara proaktif dalam membantu merealisasikan hasrat PDK Seberang Jaya bagi membina bangunannya sendiri.

Majlis Pecah Tanah ini dilaksanakan secara jayanya diikuti bacaan doa oleh Tuan Imam Masjid Semilang serta upacara memotong kek simbolik kepada ulangtahun operasi PDK (OKU) Seberang Jaya yang menjengah tahun ke-7nya. Majlis yang dihadiri hampir 200 orang penduduk ini ditaja sepenuhnya oleh syarikat PRAI POWER. Sebelum majlis tamat, masyarakat sekitar berbesar hati menghulurkan sumbangan ikhlas. Turut menghulurkan bantuan-Ariff Shah memberi bantuan wang tunai berjumlah RM 2,500 kepada PDK(OKU) Seberang Jaya.

Kepada individu, badan kerajaan, swasta mahupun NGO yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi En.Adam Haji Ahmad di talian 016-5352832 atau melayari laman web http://oku_sj.blogspot.com bagi maklumat lanjut.